Redtone wakil sah Starlink di Malaysia

Redtone menawarkan perkhidmatan jalur lebar satelit Starlink di Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 November 2023

starlink malaysia scaled

REDtone Digital Bhd dan SpaceX telah menandatangani perjanjian sebagai penjual sah untuk menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi berasaskan satelit Starlink di seluruh Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini REDtone yang merupakan syarikat penyedia perkhidmatan infrastruktur dan telekomunikasi bersepadu berkata dengan pasukannya yang terdiri daripada lebih 150 jurutera berdedikasi di seluruh negara.

Syarikat itu boleh menawarkan perkhidmatan jalur lebar Starlink dengan segera kepada pengguna di lokasi terpencil serta kawasan yang mempunyai kekangan geografi dan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif REDtone Lau Bik Soon berkata kekuatan syarikat sebagai penyepadu rangkaian akan membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan berasaskan satelit yang lancar kepada pelanggan dari sektor kerajaan dan perniagaan.

“Kami menyasarkan sektor yang menunjukkan peningkatan pergantungan kepada perkhidmatan satelit seperti minyak dan gas, telekomunikasi, perkapalan dan maritim, perkhidmatan kewangan dan perladangan. Sektor-sektor ini dijangka menjadi pemacu penting pertumbuhan pasaran satelit di negara ini dan akan meningkatkan keuntungan syarikat,” katanya.

Lau berkata REDtone mengorak langkah ke hadapan dalam merealisasikan visi kerajaan untuk mencapai 100 peratus capaian internet di kawasan berpenduduk. Beliau berkata kira-kira tiga peratus daripada penduduk negara ini menetap di kawasan yang mempunyai sedikit atau tiada sambungan internet.

“Disinilah kami datang untuk mengisi jurang jalur lebar melalui satelit, untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi, menyediakan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, dan meningkatkan keselamatan awam,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pasaran satelit dianggarkan bernilai RM19.7 bilion menjelang 2025, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 10.9 peratus. Ia juga berkata pada masa ini terdapat 5,000 satelit Starlink di orbit dan syarikat itu telah mula melancarkan satelit Gen 2 yang membolehkan mereka menyediakan sokongan digital ke setiap sudut, menghubungkan yang tidak bersambung dan merapatkan jurang digital di negara ini.

Sehingga September 2023, Starlink telah menghubungkan lebih dua juta pelanggan aktif di lebih 60 negara. SpaceX ialah pengeluar kapal angkasa Amerika, pembekal perkhidmatan pelancaran, kontraktor pertahanan dan syarikat komunikasi satelit yang beribu pejabat di Hawthorne, California.

— Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

SEWA STARLINK. PERTAMA DI MALAYSIA

X
Klik untuk wasap